Monday 30 April 2012

Rokok II

Kesan merokok kepada wanita
Berisiko hidap barah pangkal rahim dan tua sebelum waktu...

SAMBUTAN Hari Tanpa Tembakau Sedunia disambut pada setiap 31 Mei yang bertujuan menyampaikan mesej kepada masyarakat terhadap tabiat merokok dengan pemilihan tema yang agak berbeza iaitu menumpukan kepada sasaran terhadap golongan wanita.

Pemilihan tema juga amat tepat iaitu “Lindungi Wanita dari Pemasaran Tembakau dan Asap Rokok” yang pada dasarnya perlu diberi perhatian berikutan jumlah perokok kalangan wanita semakin meningkat.
Walaupun terlewat tetapi pemilihan wanita sebagai golongan sasar seharusnya perlu dipergiatkan kerana mereka menjadi kumpulan sasar terbesar syarikat tembakau selepas kaum Adam.
Jika diperhatikan di sekitar tempat kerja, pusat hiburan atau kawasan awam terutama di bandar besar, kelibat wanita merokok adalah pemandangan biasa.

Dikukuhkan dengan data kajian Tinjauan Morbiditi dan Mortaliti Kebangsaan, tahun 2003 mendapati peratusan remaja perempuan merokok adalah sekali ganda tinggi iaitu 28.8 peratus berbanding lelaki sebanyak 14.1 peratus.

Ia laporan yang mengejutkan. Umur mula merokok di kalangan remaja perempuan itu juga dikatakan bermula seawal usia 10 tahun dan puncanya mungkin bermula dengan desakan kawan, tarikan iklan dan naluri orang muda yang suka mencuba kelainan.

Ketua Pengarah Institut Perubatan Respiratori (IPR), Datin Dr Aziah Ahmad Mahayiddin, berkata menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 20 peratus daripada 1 bilion perokok di dunia adalah wanita.
“Kami melihat peningkatan itu di kalangan perokok wanita di negara ini dan apa yang merisaukan adalah usia perokok awal kian menjadi lebih muda.

“Pelajar sekolah mula merokok buat pertama kalinya sering didorong oleh tekanan daripada rakan sebaya dan sehubungan itu, adalah sangat penting bagi masyarakat berkomunikasi dengan memberikan sokongan dan membantu mereka menghentikan tabiat itu,” katanya pada sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2010, di IPR baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Pengerusi Puspanita Kementerian Kesihatan Malaysia, Datin Seri Zuraida Ahmad.

Tambah Dr Aziah, wanita banyak dimomokkan dengan mitos mengaitkan kebaikan rokok yang dapat membantu mengekalkan bentuk tubuh langsing selain satu kaedah untuk mereka memperlihatkan imej ‘urban’.

“Merokok sebenarnya mendatangkan lebih banyak kesan buruk kepada wanita jika dibandingkan dengan lelaki, selain penyakit barah, jantung, respiratori, wanita merokok juga mengalami masalah kesuburan dan berdepan risiko semasa mengandung serta melahirkan.

“Alangkah baiknya jika wanita itu sendiri tahu bahawa merokok meningkatkan risiko mereka mendapat barah pangkal rahim dan barah payudara sebelum menopause,” katanya.

Menyedari wujudnya peningkatan bilangan perokok di kalangan wanita dan remaja perempuan di seluruh dunia, strategi khusus untuk kumpulan sasar terbaru ini sangat perlu.

“Seperti dikatakan Ketua Pengarah WHO, Dr Margaret Chan, melindungi dan mempromosikan kesihatan kaum wanita adalah penting untuk kesihatan serta pembangunan, bukan saja untuk penduduk masa kini tapi juga untuk generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, Rosnah berkata wanita tidak perlu merokok untuk meningkatkan penampilan atau keyakinan diri kerana merokok hanya mendatangkan keburukan dan bahaya kepada kesihatan.

“Kita hanya disogokkan dengan maklumat bahawa merokok adalah satu cara untuk diet tapi masalah kesihatan berkait dengan kesihatan langsung tidak didedahkan.

“Kerajaan melarang penjualan rokok kepada remaja bawah 18 tahun dan baru-baru ini larangan penjualan rokok kotak kecil berisi 14 batang rokok juga dibuat. Usaha ini diharap akan membantu menurunkan kadar perokok di kalangan remaja,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan wanita supaya tidak terpedaya dengan ‘rayuan’ syarikat rokok kerana kesemua syarikat berkenaan dikatakan mula beralih sasaran selepas berjaya berjaya merosakkan kehidupan ramai lelaki.

Pada majlis sama, Rosnah turut melancarkan wad Kelas 1 di IPR dan melakukan lawatan bagi melihat kemudahan sambil menyampaikan sumbangan hamper kepada pesakit.

No comments:

Post a Comment